Saturday 26 May 2012

Testimoni


HYUNDAI Getz mengesahkan kecemerlangan kejuruteraan automotif Hyundai Motor Corporation (Hyundai), kerana jentera kecil yang disasarkan untuk pasaran Eropah ini pasti akan menarik minat sesiapa saja. Kelihatan kecil dari luar, Getz sebenarnya sangat lapang di dalam.

Sebagai kereta kecil antara yang paling stabil dalam kelasnya, Getz merevolusikan tahap kepuasan pemanduan. Getz yang dihasilkan dalam versi 1.6 liter dan 1.3 liter adalah penyertaan sulung Hyundai dalam segmen “B” super mini terutama bagi pasaran Eropah yang merekodkan jualan lebih empat juta setahun.

Getz dizahirkan untuk bersaing dalam segmen yang turut didominasi beberapa jenama besar seperti Toyota Yaris, Renault Clio, Peugeot 106 dan Honda Jazz. Dengan Getz, penawaran rangkaian kenderaan Hyundai dipertingkatkan dan ia diapit dua model popularnya, Atos dan Matrix.

Pengalaman memandu Getz 1.3 baru-baru ini mengubah tanggapan penulis terhadap kereta kecil yang sering dikaitkan dengan ketidakstabilan dan ketidakselesaan terutama pada kelajuan agak tinggi.


JENTERA yang memacu
prestasi cemerlang Getz

Namun, Getz yang dibangunkan atas platform serba baru sepenuhnya, mempertingkatkan daya tahan dan tegar badan sekali gus mengurangkan kebisingan, gegaran dan memberikan karektor pemanduan yang lebih jitu.

Kelebihan utama Getz terletak kepada rekaannya yang menawan. Kehadirannya di pasaran menyediakan alternatif kepada kenderaan dalam segmen sama iaitu Honda Jazz yang digilai ramai tetapi disebabkan tanda harga lebih berat banyak yang berfikir banyak kali sebelum membuat komitmen.

Selain rupa yang menawan, Getz yang lebih lebar dan jarak gandar yang panjang menjadikannya amat stabil. Ditokok pula dengan gear automatik empat kelajuan, Getz ialah kenderaan import sepenuhnya (CBU) yang paling kompetitif di pasaran.


RUANG yang kelihatan kecil dari luar tetapi konsep
rekaan yang ringkas menjadikan ruang dalaman luas
dan selesa.

Kenderaan comel yang sudah mengukuhkan kedudukannya di pasaran tempatan dengan senarai menunggu yang panjang sebaik mula diperkenalkan lewat tahun lalu ini disasarkan kepada kumpulan pemandu berumur 20 hingga 50 tahun. Pembeli Getz dianggap mereka yang meletakkan keutamaan terhadap nilai untuk wang, gaya rekaan unik, aspek keselamatan dan mesra alam.

Getz dihasilkan pusat Penyelidikan dan Pembangunan Hyundai di Ulsan, Korea dengan menterjemahkan bentuk rekaan baji berbanding garis bulat bagi memastikan produk ini dapat menambat hati sebahagian besar pembeli sasarannya di Eropah. Penekanan dalam rekaannya turut menitikberatkan aspek mesra alam dan menampilkan gaya lebih segar menerusi rekaan lampu serba baru.

Bahagian luaran Getz sebahagian besarnya menampilkan lengkuk halus bumper depan yang bersambung terus dengan badan, jeriji radiator menegak dengan logo “H” yang lebih besar, rekaan depan yang aerodinamik, antena dipasang di bumbung, pelindung sisi bagi perlindungan tambahan dan spoiler belakang dengan lampu brek ketiga yang dipasang lebih tinggi bagi kelihatan sporty.

Sementara bahagian dalaman kenderaan ini dilengkapkan dengan ciri bermanfaat terutamanya ruang dalaman yang luas bagi menambahkan keselesaan, ruang kargo yang luas dengan opsyen kerusi belakang dilipat dua kali, pelbagai ruang simpanan kecil termasuk kocek dan tempat meletak minuman serta penyangkut minuman di kerusi belakang bagi mereka yang suka bungkus makanan dari restoran atau gerai.

Dari aspek keselamatan, kereta kecil ini tidak boleh dikesampingkan. Pelbagai ciri canggih datang sebagai standard seperti tali pinggang keledar tiga punca dengan prapelarasan regangan dan pengehad beban. Getz juga mendapat pengiktirafan empat bintang dalam ujian perlanggaran NCAP.

Ia turut dilengkapkan dengan pengimbas khas yang memotong bekalan minyak secara automatik bila ia mengesan kemalangan besar. Kemantapan badan kenderaan ini disumbangkan penggunaan lebih 58 peratus keluli berketahanan tinggi. Bagi meningkatkan kemampuan membrek, ia dilengkapkan dengan brek cakera 13-inci di depan dengan kuasa brek dijana daripada servo brek sebesar sembilan inci. Bagi meningkatkan keselamatan penumpang terutama ketika perlanggaran sisi, palang penahan dilengkapkan di setiap pintu.

Meskipun enjin Getz kedengaran mengaum sedikit, ia tidak sampai ke tahap mengganggu keselesaan pemanduan, sebaliknya menunjukkan jentera ini mempunyai kuasa untuk menerjah pantas. Enjin siri Alpha-II 1.3 liter, empat silinder sebaris SOHC 12-injap yang dibina daripada aluminium sepenuhnya ini memberikan prestasi membanggakan.

Ia mampu menjana kuasa sebanyak 82 bhp pada 5,800 rpm dan tork maksimum 11.9 kg pada 3,200 rpm. Sementara lejang yang lebih tinggi (83.5mm) menghasilkan prestasi kelajuan lebih baik pada tahap rendah dan sederhana.

Getz dilengkapkan dengan kotak gear automatik empat kelajuan bagi pemanduan lebih lancar dan tangkas. Tetapi penukaran gear yang terlalu kerap hasil operasi sistem “fuzzy logic” sebaik injap minyak dilepas dan ditekan semula sedikit mengganggu. Namun, ini sebenarnya baik bagi prestasi yang lebih tangkas dan penggunaan bahan api lebih berkesan.

Pengalaman pemanduan mantap pada Getz sebenarnya disumbangkan penggunaan topang MacPherson dengan lengan bawah “A” serta palang antioleng pada silang depan bagi mewujudkan geometri sempurna roda depan. Sementara di belakang alat baru sepenuhnya, Couple Torsion Beam Axle (CTBA) membolehkan tayar belakang dan penyerap hentak menghela dengan sempurna.

Getz yang menikmati faedah ekonomi bidangan Hyundai yang mengeluarkan lebih tiga juta kenderaan setahun bagi memberi cabaran besar kepada kenderaan lain sekelasnya dengan harganya yang lebih rendah tetapi kualiti pembinaan berkelas tinggi.

Justeru, Getz menawarkan alternatif terbaik bagi mereka yang sangat meminati kenderaan kelas Supermini, yang memperjelaskan perwatakan pemandunya sebagai mereka yang bergerak seiring zaman.


No comments:

Post a Comment